KUALA LUMPUR, 1 Julai - Meskipun masa depan bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) masih belum dimuktamad, gandingan utama negara, Pearly Tan dan M. Thinaah, tetap mempamerkan komitmen luar biasa dalam latihan dan kejohanan.
Ketua jurulatih beregu wanita kebangsaan, Rosman Razak berkata, isu tersebut tidak menjejaskan prestasi atau disiplin pasangan tersebut.
“Jika ada sebarang masalah, saya akan bersuara tetapi setakat ini saya tiada isu mengenainya.
“Dari segi latihan, fokus dan segala arahan (masih ikut), ia tidak mengganggu proses saya,” katanya ketika ditemui pemberita di Akademi Badminton Malaysia di sini hari ini.
Semalam Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, keputusan sama ada Pearly-Thinaah kekal bersama badan induk itu hanya akan diketahui sebelum Terbuka Jepun pada 15 Julai ini dengan beberapa perkara perlu dimuktamadkan sebelum keputusan sebenar dapat dicapai.
Untuk rekod, Pearly-Thinaah belum menandatangani kontrak baharu bersama BAM selepas kontrak terdahulu tamat pada Disember lepas.
Di sebalik ketidaktentuan masa depan mereka bersama BAM, Pearly-Thinaah tetap menunjukkan prestasi cemerlang apabila menjuarai Terbuka Thailand pada Mei lalu.