fb fb fb fb fb

Terjun wanita: Nur Dhabitah tamatkan aksi final tanpa pingat

Nur Dhabitah Sabri

PARIS, 9 Ogos- Penerjun wanita negara, Nur Dhabitah Sabri menamatkan aksi final tiga meter papan anjal individu di kedudukan terakhir.

Kesilapan dalam dua terjunan nyata menjejaskan peluangnya untuk menduduki sekurang-kurangnya kelompok lima terbaik.

Nur Dhabitah memulakan saingan dengan agak baik apabila dua terjunan awalnya mencatat 63.00 dan 60.00 mata untuk menduduki tiga teratas.

Namun, terjunan ketiganya dilihat tidak menjadi menyaksikan Nur Dhabitah hanya mampu mengutip 37.50 mata, sekali gus jatuh di kedudukan ke-11.

Prestasi Nur Dhabitah terus menjunam di terjunan keempat, selepas hanya mampu mengutip 28.50 mata akibat 'entry' yang kurang kemas.

Pada terjunan terakhir Nur Dhabitah meraih 55.80 mata untuk mengumpul keseluruhan 244.80 mata untuk menamatkan saingan di kedudukan terakhir daripada 12 penerjun.

Pingat emas dan gangsa dimenangi Chen Yi Wen serta Chang Yani dari Cina, manakala Maddison Keeney dari Australia merangkul pingat perak.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM