fb fb fb fb fb

Nurul Izzah lepasi pusingan kelayakan acara pecut

Nurul Izzah Izzati Mohd Asri/ Foto Olympic Council of Malaysia (OCM)

PARIS, 9 Ogos- Pelumba berbasikal trek wanita negara Nurul Izzah Izzati Mohd Asri bermula dengan langkah kanan apabila mara ke pusingan 1/32 acara pecut wanita di National Velodrome hari ini.

Pada aksi berkenaan, Nurul Izzah Izzati mempamerkan kayuhan baik untuk berada di kedudukan ke-21 daripada 28 pelumba dengan catatan masa 10.709 saat (s) di pusingan kelayakan sebentar tadi.

Pelumba berusia 20 itu berjaya memadamkan rekodnya sendiri pada Kejohanan Asia di Nilai, Negeri Sembilan pada tahun lepas dengan catatan 10.903 s.

Pada Rabu (7 Ogos), beliau terlepas peluang ke suku akhir acara keirin di Sukan Olimpik Paris 2024 apabila menamatkan saingan di tempat ketiga pusingan repechage.

Beliau bagaimanapun akan meneruskan cabaran ke pusingan repechage sebentar lagi selepas ketinggalan +0.081s kepada Sophie Capewell dari Great Britain pada pusingan 1/32 saringan empat. 

Pada pusingan berkenaan, pemenang setiap saringan layak ke pusingan 1/16, manakala yang kalah mara ke 1/32 repechage.- BERNAMA

 

ROSLINA BINTI DIN