fb fb fb fb fb

Terengganu sasar pingat Baseball5 Terbuka Kebangsaan

KUALA TERENGGANU, 26 Mei- Setelah dua tahun membuat persediaan awal, Terengganu optimis untuk meletakkan sasaran awal bagi meraih sebarang warna pingat di pentas Kejohanan Baseball 5 Terbuka Kebangsaan yang dijadualkan berlangsung selama tiga hari bermula Sabtu ini di Ipoh, Perak.

Walaupun tidak ingin meletakkan sebarang sasaran tinggi bagi penyertaan pertama mereka di pentas tertinggi kebangsaan, namun ketua jurulatih Terengganu Muhammad Muhairi Jasmani melihat kelebihan tetap memihak kepada mereka dengan taktikal yang telah dirancang.

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor dan Johor merupakan antara pasukan pilihan bagi kejohanan ini nanti yang perlu diberi perhatian untuk percaturan kejuaraan.

Terengganu mempertaruhkan sebahagian besar pemain sofbol yang pernah beraksi di kejohanan-kejohanan domestik dilihat tidak memberi sebarang masalah walaupun disiplin acara ini tidak menggunakan kayu pemukul bola namun masih hampir sama dengan konsep permainan sukan sofbol.

Untuk rekod, Baseball5 merupakan salah satu acara sukan bawah kawal selia badan induk kebangsaan Persatuan Sofbol Malaysia yang kini dalam usaha untuk mengintai slot ke Sukan Olimpik Remaja 2026 di Dakar, Senegal.

"Bila atlet kita ini untuk pergi peringkat kebangsaan kita harapkan supaya sasaran pingat kita meletakkan bahawa sekurang-kurangnya kita dapat melayakkan diri ke peringkat separuh akhir.

"Sebab ini adalah kali pertama, sasaran kita kena ada. Jadi saya sebagai jurulatih saya meletakkan bahawa atlet-atlet saya untuk ke peringkat separuh akhir atau akhir itu adalah bonus untuk kami sebenarnya," kata Muhammad Muhairi.

(Muhammad berkata Terengganu sasar pingat Baseball5 Terbuka Kebangsaan)

Media Baharu