fb fb fb fb fb

Terbuka Vienna: De Minaur catat kemenangan ke-300

Pemain tenis Australia, Alex de Minaur/REUTERS

VIENNA, 21 Oktober- Pemain pilihan ketiga dari Australia, Alex de Minaur mencatat kemenangan ke-300 dalam kariernya di peringkat jelajah selepas menewaskan wakil tuan rumah, Jurij Rodionov 6-4, 6-1 pada pusingan pertama Terbuka Vienna pada Isnin.

Rodionov, yang beraksi menerusi tiket 'wild card', memberikan tentangan seimbang pada set pertama sebelum tewas, apabila gagal mempertahankan servis pada kedudukan 4-5.

Walaupun mempunyai peluang untuk mengikat kedudukan 5-5, De Minaur berjaya mematahkan usaha lawannya dengan pukulan kemenangan sebelum menutup set pertama.

Dalam set kedua, pemain Australia itu menambah dua lagi break untuk memastikan kemaraan ke pusingan kedua dalam masa satu jam 20 minit.

Dalam aksi terakhir hari tersebut, pilihan kelima dari Rusia, Karen Khachanov, tewas 3-6, 7-5, 4-6 kepada pemain Belanda, Tallon Griekspoor.

Griekspoor seterusnya akan menentang pemain Amerika Syarikat (AS), Brandon Nakashima pada pusingan kedua.

Sementara itu, pilihan kelapan dari Kazakhstan, Alexander Bublik turut mara selepas menewaskan pemain Chile, Alejandro Tabilo 6-4, 6-4. -REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM