fb fb fb fb fb

ACLE: Al-Ahli kembali di puncak kumpulan selepas benam Al-Gharafa

Pemain tengah Al-Ahli, Franck Kessie meraikan kejayaan menjaringkan gol kedua pada perlawanan menentang Al-Gharafa pada Isnin/REUTERS

JEDDAH, 21 Oktober – Juara bertahan Al-Ahli kembali ke landasan kemenangan selepas menewaskan Al-Gharafa dari Qatar 4-0 dalam aksi Liga Juara-Juara Asia Elite (ACLE) di Stadium Bandar Sukan Raja Abdullah pada Isnin.

Selepas diikat 2-2 oleh Al-Duhail dari Qatar pada perlawanan kedua sebelum ini, Al-Ahli bangkit dengan tiga jaringan pantas dalam tempoh sembilan minit pada separuh masa pertama untuk memastikan kemenangan meyakinkan.

Kemenangan itu membolehkan mereka mengumpul tujuh mata selepas tiga perlawanan, manakala Al-Gharafa kekal di tangga kelapan dengan tiga mata.

Bermain sebagai pasukan pelawat,Al-Gharafa bermula garang apabila Joselu nyaris membuka jaringan menerusi voli pada awal permainan, disusuli gerakan Ferjani Sassi yang hampir menghasilkan gol pendahuluan buat wakil Qatar itu.

Pasukan tuan rumah, Al-Ahli mula menemui rentak permainan,

Namun sepakan percuma Riyad Mahrez pada minit ke-14 berjaya dinafikan oleh penjaga gol Al-Gharafa, Khalifa Ababacar.

Abanacar sekali lagi bertindak cemerlang apabila menggagalkan cubaan kedua Mahrez selang beberapa minit kemudian.

Kecederaan yang menimpa Fabricio Diaz pada minit ke-30 memaksa Al-Gharafa melakukan pertukaran pemain sekali gus mengganggu rentak permainan mereka.

Pada minit ke-32, Al-Ahli memanfaatkan keadaan itu apabila Enzo Millot meledak gol pembukaan hasil hantaran silang Matheus Goncalves dari sebelah kiri.

Enam minit kemudian, Goncalves sekali lagi bertindak cemerlang apabila dia melepasi kawalan Mason Holgate sebelum mengumpan hantaran lintang yang ditanduk masuk Franck Kessie untuk menjadikan kedudukan 2-0.

Al-Ahli terus menambah derita pelawat apabila Kessie menjaringkan gol ketiga pada minit ke-41 hasil gerakannya bersama Riyad Mahrez.

Bersambung babak kedua, Al-Ahli berjaya menambah jaringan pada minit ke-76 apabila pemain gantian Saleh Al-Shamat menyempurnakan hantaran Ivan Toney yang berjaya melepasi perangkap ofsaid dan menyudahkan jaringan ke gawang terbuka untuk memastikan kemenangan 4-0.

Sementara itu, satu lagi wakil Arab Saudi, Al-Hilal, berada di tangga ketiga dengan enam mata daripada dua perlawanan dan bakal berdepan Al-Sadd dari Qatar pada Selasa. - REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD