fb fb fb fb fb

Terbuka Switzerland: Tang Jie-Ee Wei, Soon Huat-Shevon bertembung di final

Beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei/Foto Badminton Photo

KUALA LUMPUR, 24 Mac - Dua beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie bakal bertembung sesama sendiri di final selepas menyingkirkan lawan masing-masing di separuh akhir Terbuka Switzerland 2024, awal pagi tadi.

Pada perlawanan berlangsung di St Jakobshalle di Basel, Tang Jie-Ee Wei selaku beregu ranking kesembilan dunia mudah melangkah ke final apabila meraih kemenangan straight set 21-16 dan 21-12 ke atas beregu Taiwan, Ye Hong Wei-Lee Chia Hsin.

Kemaraan itu kemudian diteruskan Soon Huat-Shevon ranking ke-14 dunia apabila menewaskan beregu Belanda Robin Tabeling-Selena Piek, 21-18 dan 21-16 dalam tempoh 37 minit dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Ia pertembungan kali ketiga buat kedua-dua pasangan negara itu selepas Terbuka Korea 2023 dan Masters Jepun 2023 dengan masing-masing pernah meraih kemenangan.

Pertemuan final membabitkan kedua-dua pasangan beregu negara itu akan berlangsung malam ini. - BERNAMA

GRACE AISYAH KEDAYAN