fb fb fb fb fb

Perak FC mudah tewaskan Geylang FC 3-0

Foto FB Perak FC

IPOH, 24 Mac - Perak FC memulakan aksi pra-musim dengan langkah kanan selepas menewaskan pasukan yang beraksi di Liga Singapura, Geylang International FC 3-0 malam tadi. 

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Perak itu menyaksikan pengendali skuad The Bos Gaurus, Yusri Che Lah menurunkan kesebelasan berbeza pada setiap babak. 

Perak FC hanya memerlukan tujuh minit untuk di depan menerusi tandukan Firdaus Saiyadi selepas menerima hantaran Tommy Mawat Bada.

Firdaus sekali lagi memainkan watak penting buat pasukan Perak FC selepas dijatuhkan dalam kotak penalti pada minit ke-32.

Muhammad Harith Akif tenang menyempurnakan sepakan penalti bagi meletakkan pasukan tuan rumah di depan dengan kelebihan dua gol pada separuh masa pertama.

Perak FC menambah satu lagi jaringan pada separuh masa kedua menerusi tonggak import Kyrgyzstan, Adilet Kanybekov sekaligus menyaksikan kedudukan 3-0 kekal hingga wisel penamat.

Perak FC dijadual bertemu satu lagi pasukan yang beraksi di Liga Singapura; Albirex Niigata dalam aksi persahabatan kedua, 30 Mac depan.

Dalam pada itu, Jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah mengakui masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki pasukannya sebelum saingan liga bermula.

"Walaupun tidak boleh saya katakan sempurna ataupun telah apa yang kita cari selama ni, tapi banyak ruang yang kalau kita lihat masih ada kelemahan yang patut kita segera lakukan, walau bagaimanapun objektif hari ini untuk mendapatkan para pemain merasai stadium Perak yang saya boleh katakan agak sukar untuk semua pasukan beraksi," katanya selepas tamat perlawanan pada malam tadi.

Sementara itu, pengendali Geylang International FC, Mohd Noor Ali tetap berpuas hati dengan persembahan anak buahnya meskipun tewas dalam aksi malam tadi.

GRACE AISYAH KEDAYAN