fb fb fb fb fb

Perak FC mungkin tidak sertai SUKMA XXI kerana kekangan kewangan

Pemain Perak FC

IPOH, 23 Mac- Perak berkemungkinan besar tidak akan menyertai acara bola sepak pada Sukan Malaysia Ke-21 (SUKMA XXI) di Kuching, Sarawak yang berlangsung Ogos depan susulan kurang tajaan dan sokongan kewangan daripada kerajaan negeri. 

Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Bobie Farid Shamsudin berkata, Perak FC hanya diberi peruntukkan sebanyak RM50,000 untuk persiapan pasukan bagi menyertai temasya itu.

"SUKMA berlaku pada Ogos, Liga Belia (juga) belum habis lagi, jadi risiko sebulan kami lepaskan pemain itu tidak boleh berharga RM50,000.

"Bajet yang diberi itu, kita rasa macam tidak setujulah. (Ia) risiko kepada pasukan Bawah 20. Pemain-pemain Bawah 20 sekarang adalah pemain-pemain, kata orang, pembangunan untuk negeri Perak. Kebanyakkan (pemain) orang Perak," katanya.

Tambah beliau, Perak FC juga terpaksa menanggung beban kewangan untuk persediaan pasukan Bawah 23, Bawah 20 dan Bawah 18 seperti disyaratkan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Bobie Farid bercakap pada sidang media sempena perlawanan persahabatan Perak FC menentang Geylang International FC dari Singapura di Stadium Perak, hari ini.

Perlawanan menentang Geylang International FC itu disifatkan medan terbaik untuk menguji keupayaan kesemua pemain Perak FC. 

Ketua Jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah berkata, pasukannya akan menurunkan dua skuad campuran bagi perlawanan itu untuk menilai kombinasi dan keserasian antara pemain.

"Kita ada dua skuad untuk main esok (hari ini) sudah pasti saya akan menurunkan dua pasukan yang berbeza untuk saya menilai tahap keyakinan mereka pada perlawanan pertama.

"Sering kali perlawanan pertama adalah sesuatu yang sukar, jadi permainan yang sukar ini kita perlukan pasukan kuat seperti Geylang dan kita nanti dapat melihat dimana kita berada pada musim perlawanan pertama," katanya.

Sementara itu, Pengurus Geylang International FC, Leonard Koh berkata, pasukannya menerima baik pelawaan persahabatan berkenaan yang memberi peluang beraksi bersama pasukan luar.

"Ia adalah tahun peralihan untuk Liga Perdana Singapura dan sekarang kami memberi fokus bagi kalender Mei. (Jadi) kami gembira menerima tawaran daripada Perak FC," katanya dalam sidang media sama di sini.

SITI AISHAH MD ISA