KUALA LUMPUR, 25 Mac - Beregu campuran negara Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie meraih gelaran pertama musim ini apabila menjuarai Terbuka Switzerland 2024 malam tadi.
Pada perlawanan berlangsung di St Jakobshalle di Basel menyaksikan Soon Huat--Shevon mempamerkan kekuatan sebenar apabila menewaskan rakan senegara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei sejak awal permainan dengan memenangi set pertama 21-16.
Kemenangan itu nyata memberi tonik buat Soon Huat-Shevon untuk mendahului 11-3 sebelum menoktahkan kemenangan ke atas Tang Jie-Ee Wei dengan pukulan deras diakhiri keputusan 21-13 dalam masa 36 minit.
Soon Huat-Shevon, selaku juara kejohanan bertaraf status Super 300 itu, membawa pulang hadiah wang tunai US$16,590 (RM78,582) manakala Tang Jie-Ee Wei menerima US$7,980 (RM37,799).
Ini merupakan gelaran pertama diraih pasangan di kedudukan ke-14 dunia itu selepas menempuh tujuh perlawanan pada musim ini sejak Januari lepas.