fb fb fb fb fb

Terbuka Stuttgart: Justin Engel lakar kejutan dalam debut gelanggang rumput

Pemain tenis remaja Jerman, Justin Engel / REUTERS

STUTTGART, 11 Jun- Pemain remaja Jerman, Justin Engel cipta kejutan di Terbuka Stuttgart apabila menewaskan pemain berpengalaman dari Australia, James Duckworth dalam aksi sulungnya di gelanggang rumput peringkat profesional.

Engel, yang kini berada di ranking ke-281 dunia, hanya berusia 17 tahun dan baru sahaja mencatat lima penampilan di Jelajah ATP, kebanyakannya di pentas Challenger dengan aksi di gelanggang tanah liat dan 'hardcourt'.

Namun, dalam perlawanan penuh mendebarkan yang berlangsung hampir dua setengah jam di Kelan Tenis Weissenhof itu, Engel berjaya menyesuaikan diri dengan gelanggang rumput sebelum bangkit menewaskan Duckworth yang berada 187 anak tangga lebih tinggi dalam ranking dengan keputusan 4-6, 6-4, 7-6(5).

Walaupun ketinggalan pada set penentuan, pemain remaja Jerman itu menunjukkan ketenangan luar biasa untuk mencuri tumpuan di laman sendiri sekali gus membuktikan dirinya sebagai bintang muda yang perlu diberi perhatian.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE