AMMAN, 11 Jun- Harapan Oman untuk layak ke Piala Dunia kekal bernyala selepas mencatat keputusan seri 1-1 menentang Palestin dalam aksi kelayakan yang berlangsung di Jordan, pada Rabu.
Palestin mendahului menerusi tandukan Oday Kharoub pada minit ke-49 dan dilihat menguasai perlawanan selepas Oman kehilangan Harib Al-Saadi yang dilayangkan kad kuning kedua.
Namun, kelebihan itu gagal dimanfaatkan apabila Muhsen Al-Ghassani dijatuhkan dalam kotak penalti pada masa kecederaan, sebelum Issam Al-Sabhi menyempurnakan sepakan penalti dengan tenang untuk menyamakan kedudukan dan mengekalkan Oman di tangga keempat Kumpulan B.
Keputusan itu sekali gus menyekat kemaraan Palestin yang terpaksa akur tersingkir daripada saingan.
Sebagai rekod, Oman masih belum pernah layak ke Piala Dunia sejak mula menyertai pusingan kelayakan FIFA pada era 1980-an. Meskipun pernah beberapa kali menghampiri slot ke pusingan akhir, impian mereka masih belum menjadi kenyataan.
Keputusan seri menentang Palestin membolehkan mereka kekal dalam saingan untuk melangkah ke pusingan keempat kelayakan, sekiranya berjaya mengekalkan momentum sedia ada.
Di bawah bimbingan jurulatih Rashid Jaber, skuad Oman mempamerkan peningkatan yang ketara, termasuk dari segi organisasi taktikal dan disiplin permainan, sekali gus memberi bayangan mereka bakal menjadi pencabar utama dalam fasa seterusnya.-REUTERS