fb fb fb fb fb

Australia sah ke Piala Dunia, tewaskan Arab Saudi 2-1

FOTO REUTERS

JEDDAH, 11 Jun- Australia mengesahkan kemaraan ke Piala Dunia buat kali keenam berturut-turut selepas mencatat kemenangan 2-1 ke atas Arab Saudi dalam aksi kelayakan yang berlangsung di Jeddah, pada Rabu.

Skuad kendalian Tony Popovic hanya perlu mengelak kekalahan dengan jurang lima gol untuk melayakkan diri secara automatik, namun tampil lebih meyakinkan apabila bangkit daripada ketinggalan untuk meraih tiga mata penuh.

Abdulrahman Al-Obud terlebih dahulu meletakkan Arab Saudi di depan pada minit ke-19, namun Connor Metcalfe menyamakan kedudukan tiga minit sebelum tamat babak pertama, sekali gus memadam harapan pasukan tuan rumah.

Australia kemudiannya berada di depan pada minit ke-48 apabila Mitch Duke menanduk masuk sepakan percuma Martin Boyle untuk menjadikan kedudukan 2-1 memihak pelawat.

Penjaga gol berpengalaman, Maty Ryan, yang membuat penampilan ke-100 bersama skuad Socceroos, menafikan peluang Arab Saudi untuk menyamakan kedudukan apabila menyelamatkan sepakan penalti Salem Al-Dawsari pada lewat permainan.

Kemenangan itu memastikan Australia menamatkan saingan Kumpulan C di kedudukan kedua, di belakang juara kumpulan, Jepun, yang telahpun melayakkan diri ke Piala Dunia sejak Mac lalu.

Arab Saudi pula mengakhiri kempen di tempat ketiga dan akan meneruskan perjuangan dalam pusingan keempat kelayakan pada Oktober bersama lima lagi pasukan iaitu Indonesia, Qatar, Emiriah Arab Bersatu, Iraq dan Oman.

Dalam perlawanan lain, Jepun membelasah Indonesia 6-0 di Osaka dengan Daichi Kamada meledak dua gol di separuh masa pertama untuk memastikan gelaran juara Kumpulan C milik Samurai Biru.

Sementara itu, jaringan penalti lewat permainan oleh Wang Yudong membantu China menewaskan Bahrain 1-0.

Iran pula mengesahkan status selaku juara Kumpulan A selepas menundukkan Korea Utara 3-0 dalam aksi yang turut menyaksikan Kye Tam dilayangkan kad merah pada minit ke-66 di Tehran.

Uzbekistan, yang telahpun melayakkan diri, menamatkan saingan di tempat kedua selepas membenam Qatar 3-0 di Tashkent.

Emiriah Arab Bersatu pula menamatkan saingan di tempat ketiga meskipun sekadar seri 1-1 dengan Kyrgyzstan di Bishkek selepas melepaskan gol penyamaan lewat permainan.

Dalam Kumpulan B, Korea Selatan menamatkan kempen dengan penuh bergaya apabila membelasah Kuwait 4-0 untuk muncul juara kumpulan dengan rekod tanpa kalah di bawah bimbingan Hong Myung-bo.

Jordan yang sebelum ini mengesahkan penyertaan pertama ke Piala Dunia, menamatkan saingan di tangga kedua meskipun tewas 0-1 kepada Iraq kendalian Graham Arnold di Amman.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE