MANCHESTER, 11 Jun- Manchester City sah melengkapkan perpindahan pemain antarabangsa Perancis, Rayan Cherki dari Lyon pada Selasa, tepat pada masanya sebelum tarikh akhir pendaftaran pemain untuk Piala Dunia Kelab FIFA 2025.
Pemain berusia 21 tahun itu menyertai City dengan nilai perpindahan €36.5 juta (euro) bersama tambahan insentif sebanyak €6 juta. Cherki menjadi sebahagian daripada rombakan skuad Pep Guardiola selepas musim yang mengecewakan tanpa sebarang trofi.
“Ini adalah impian menjadi kenyataan. Menyertai kelab seperti Manchester City dan mengambil langkah seterusnya dalam karier saya sangat istimewa," kata Cherki dalam kenyataan rasmi kelab.
“Saya sudah bekerja keras sepanjang hidup untuk sampai ke tahap ini dan tidak sabar untuk berkembang bersama Pep dan pasukannya di sini.”
Cherki menyertai rakan senegaranya Rayan Ait-Nouri, yang sebelum ini diumumkan sebagai pemain baharu City dari Wolves. Sementara itu, perpindahan pemain tengah AC Milan, Tijjani Reijnders, dijangka dimuktamadkan sebelum tarikh akhir pendaftaran pada Selasa.
Skuad City akan membuka tirai kempen Piala Dunia Kelab menentang dua kelab bukan Eropah iaitu Wydad AC dari Maghribi dan Al Ain (Emiriah Arab Bersatu), sebelum berdepan Juventus dalam pertembungan heavyweight kumpulan yang bermula 14 Jun ini.
Kelab itu sebelum ini turut membelanjakan lebih £172 juta (pound) pada jendela perpindahan Januari lalu untuk membawa masuk Omar Marmoush, Abdukodir Khusanov, Vitor Reis dan Nico Gonzalez.
Cherki, produk akademi Lyon membuat penampilan sulung pada usia 16 tahun dan muncul penjaring termuda kelab itu pada tahun 2020. Sepanjang kariernya di Lyon, beliau mencatat 29 gol dalam 185 perlawanan, termasuk dua gol ketika menentang Manchester United dalam suku akhir Liga Europa musim ini.
Beliau turut membuat debut bersama skuad senior Perancis minggu lalu dan mencuri tumpuan apabila menjaringkan satu gol serta mencipta satu umpanan gol dalam kekalahan 5-4 kepada Sepanyol dalam aksi separuh akhir Liga Negara-Negara UEFA.
Pengarah bola sepak City, Hugo Viana menyifatkan Cherki berada di tempat terbaik untuk berkembang dan yakin pemain muda itu berpotensi menjadi bintang bertaraf dunia bawah bimbingan Guardiola.-AFP