fb fb fb fb fb

Terbuka Singapura: Lima wakil negara teruskan cabaran

Foto Facebook BAM

SINGAPURA, 28 Mei-Lima wakil negara mencatat kejayaan membanggakan apabila mara ke pusingan kedua Terbuka Singapura 2025 selepas menewaskan lawan masing-masing dalam aksi yang berlangsung di Stadium Tertutup Singapura.

Pasangan profesional negara yang kini bergelar beregu nombor satu dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, mencuri tumpuan apabila mencatat kemenangan meyakinkan ke atas pasangan Taiwan, Lee Fang Chih-Lee Fang Jen, dengan kemenangan straight set 21-13, 21-11 dalam tempoh hanya 32 minit.

Turut mara ke pusingan kedua ialah gandingan berpengalaman dan pilihan ketiga kejohanan, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, yang terpaksa bermandi peluh sebelum berjaya menundukkan pasangan dari Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard, dengan keputusan 21-19, 24-22 dalam masa 40 minit. Mereka bakal berdepan pasangan pilihan dari Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi, di pusingan seterusnya.

Satu lagi pasangan negara, gandingan muda Junaidi Arif-Roy King Yap, turut mengesahkan kemaraan selepas menewaskan wakil Perancis, Eloi Adam-Leo Rossi, dengan keputusan 21-13, 21-18. Mereka bakal bertemu Goh Sze Fei-Nur Izzuddin dalam pertembungan sesama sendiri pada pusingan kedua.

Sementara itu, juara Malaysia Masters 2025, pasangan Man Wei Chong-Tee Kai Wun menewaskan beregu Taiwan, Chen Zhi Ray-Lin Y Chieh 21-18 21-19.

Wakil tunggal beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah mara ke pusingan kedua selepas menewaskan pasangan Hong Kong, Lui Lok Lok-Tsang Hiu Yan 21-16 21-18.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD