fb fb fb fb fb

Piala Cabaran Maybank: Semangat serantau menyala di SNBJ

Foto RTM

BUKIT JALIL, 28 Mei – Perlawanan persahabatan antara ASEAN All-Stars dan gergasi Liga Perdana Inggeris, Manchester United, malam ini bukan sekadar aksi bola sepak, malah menjadi detik membanggakan buat peminat serantau yang hadir memberikan sokongan penuh semangat di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Pelbagai reaksi dapat dilihat daripada penyokong yang mula membanjiri stadium seawal petang, menyuarakan rasa bangga terhadap barisan pemain ASEAN All-Stars walaupun sedar cabaran besar menanti menentang pasukan bertaraf dunia seperti Manchester United.

Thasagirinathan, antara peminat yang ditemui, menyifatkan perlawanan ini sebagai satu detik membanggakan buat negara dan ASEAN.

"Ini adalah detik yang membanggakan kerana pemain negara kita turut beraksi. Ia bukan sahaja untuk ASEAN, tetapi juga satu cabaran yang boleh memberi motivasi kepada Manchester United serta peluang terbaik untuk pemain kita beraksi bersama bintang antarabangsa," katanya.

Sementara itu, Fakhrul Anwar menyatakan keyakinan terhadap kekuatan pasukan ASEAN All-Stars dan percaya mereka mampu memberikan saingan sengit.

“Saya tengok pasukan ASEAN dia turunkan saya rasa pasukan yang agak kuat jugalah. Mungkin saya tukar balik jangkaan daripada 5-0 kepada 5-3,” ujarnya ketika ditemui RTM.

Sementara itu, Mathan Arjunan dan Zubir Ana, yang merupakan penyokong tegar Manchester United menyatakan perlawanan berkenaan merupakan medan untuk menghargai kedua-dua pasukan.

“Kami datang sokong MU, tapi tetap ada semangat ASEAN. Ada juga pemain Malaysia main, jadi kami beri sokongan kepada kedua-dua pasukan,” kata Mathan.

“Satu kata-kata untuk MU: walaupun anda nombor 15, tapi nombor satu dalam hati kami,” ujar Zubir dengan penuh semangat sambil mengangkat jersi pasukan kegemarannya.

Piala Cabaran Maybank menjadi simbolik kepada penyatuan bola sepak serantau, selain memperlihatkan minat dan sokongan luar biasa rakyat Malaysia serta negara jiran terhadap aksi yang menggabungkan bintang-bintang ASEAN dan kelab tersohor dunia.

Untuk rekod, lima pemain Harimau Malaya dipilih membarisi skuad Asean-All Stars iaitu Haziq Nadzli, Azam Azmi Murad, Adib Ra'op, Declan Lambert serta Sergio Aguero.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD