fb fb fb fb fb

Terbuka Perancis: Wei Chong-Kai Wun bermula langkah kanan

Aksi beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 21 Oktober - Beregu lelaki negara Man Wei Chong-Tee Kai Wun memulakan kempen Terbuka Perancis 2025 dengan penuh bergaya apabila mudah menyingkirkan pasangan Korea Selatan Kang Min Hyuk-Ki Dong Ju di pusingan pertama di Arena Glaz, Cesson-Sevigne hari ini.

Beregu pilihan ketujuh itu mencatat kemenangan 21-9, 21-13 dalam masa 27 minit pada hari pembukaan kejohanan Super 750 itu.

Pasangan nombor lima dunia itu akan bertemu juara Terbuka Artik 2025 dari England Ben Lane-Sean Vendy dalam perlawanan berikutnya.

Lane-Vendy menafikan pertemuan sesama beregu Malaysia di pusingan kedua apabila mereka menyingkirkan pasangan profesional negara Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong 21-14, 21-13.

Terdahulu, beregu campuran profesional Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien gagal menamatkan badi kekalahan kepada pasangan Thailand Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran selepas tewas 17-21, 17-21 sekali gus mencatat kekalahan ketiga berturut-turut kepada pasangan pilihan ketiga itu.- BERNAMA

MOHAMAD KHAIRIE KHALID