BARCELONA, 22 Oktober – Hatrik Fermin Lopez dan dua jaringan Marcus Rashford membantu Barcelona mencatat kemenangan besar 6-1 ke atas Olympiacos dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah, awal pagi tadi.
Beraksi di laman sendiri nyata memberikan tuan rumah kelebihan.
Perlawanan bermula pantas apabila Fermin menjaringkan gol pembukaan seawal minit ke-7 selepas menyambar bola muntah hasil percubaan Lamine Yamal yang ditepis penjaga gol.
Pemain muda berusia 22 tahun itu menambah jaringan keduanya pada minit ke-39.
Olympiacos berjaya merapatkan defisit jaringan apabila Ayoub El Kaabi menjaringkan penalti pada minit ke-53, hasil keputusan Video Bantuan Pengadil (VAR) yang menyaksikan Eric Garcia tersentuh bola.
Namun, keseronokan pasukan pelawat tidak bertahan lama apabila Santiago Hezze dilayangkan kad merah, tiga minit berselang.
Kelebihan itu dimanfaatkan Barca apabila Yamal menyempurnakan sepakan penalti selepas Rashford dikasari dalam kotak penalti.
Rashford turut mencetak nama selaku penjaring sebelum Fermin melengkapkan hatriknya dan Rashford menambah gol keenam Barca pada minit ke-79 hasil serangan balas.
“Kemenangan ini cukup penting dan menjadi tonik berharga kepada pasukan menjelang pertembungan El Clasico menentang Real Madrid Sabtu ini,” kata Fermin kepada media selepas perlawanan.
“Ini hatrik pertama saya bersama Barca, impian jadi kenyataan,” tambahnya. - REUTERS