PARIS, 22 Oktober – Pemegang 24 gelaran Grand Slam, Novak Djokovic tidak akan menyertai kejohanan Masters Paris tahun ini, susulan masalah kesihatan yang dihadapinya sejak beberapa minggu lalu.
Bintang Serbia berusia 38 tahun itu belum kembali beraksi secara kompetitif sejak tewas mengejut kepada pemain ranking ke-204 dunia, Valentin Vacherot, dalam separuh akhir Shanghai Masters pada awal Oktober.
Pada aksi berkenaan, Djokovic dilihat bergelut secara fizikal, muntah di tepi gelanggang dan menerima rawatan beberapa kali sepanjang perlawanan.
"Paris yang saya sayangi, malangnya saya tidak akan bertanding tahun ini," kata Djokovic menerusi hantaran di media sosial.
"Saya ada kenangan luar biasa di Paris, terutamanya memenangi gelaran sebanyak tujuh kali. Harap dapat kembali tahun depan."
Djokovic juga terpaksa menarik diri daripada perlawanan penentuan tempat ketiga menentang Taylor Fritz dalam kejohanan jemputan Six Kings Slam di Arab Saudi, minggu lalu.
Ini merupakan tahun kedua berturut-turut Djokovic tidak beraksi di Masters Paris, selaras dengan keputusannya mengurangkan jumlah kejohanan demi memberi tumpuan kepada misi menambah koleksi gelaran Grand Slam ke-25.
Dalam perkembangan berasingan, pemain ranking ke-10 dunia, Holger Rune dari Denmark turut mengesahkan akan terlepas kejohanan tersebut selepas menjalani pembedahan tendon Achilles.
Rune menyatakan pembedahan berjalan lancar dan kini memberi tumpuan kepada proses pemulihan.
Masters Paris 2025 dijadual berlangsung dari 27 Oktober hingga 2 November tahun depan. - AFP