KUALA LUMPUR, 23 Oktober – Beregu lelaki negara berjaya melangkah ke pusingan kedua Terbuka Perancis 2025 selepas mencatat kemenangan dalam aksi pembukaan di Glaz Arena, Cesson-Sevigne.
Beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang juga pemain di ranking kedua dunia, menewaskan pasangan Indonesia, Leo Rolly Carnando-Bagas Maulana 21-15, 26-24 dalam tempoh 45 minit untuk mengesahkan kemaraan mereka.
Mereka dijadual bertemu rakan senegara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi yang terdahulu menundukkan pasangan India, Pruthvi Krishnamurthy Roy-Sai Pratheek K, 21-18, 21-13.
Satu lagi pasangan utama negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani turut bangkit cemerlang apabila menundukkan juara Terbuka Denmark 2025 dari Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi 15-21, 21-19, 21-11.
Kemenangan itu membolehkan mereka menyamakan rekod pertemuan kepada 3-3.
Sementara itu, pasangan muda negara, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King membuka kempen dengan langkah kanan selepas mengatasi pasangan tuan rumah, Eloi Adam-Leo Rossi 21-19, 21-17.
Wan Arif-Roy King dijangka berdepan ujian sukar di pusingan kedua apabila dijadual menentang wakil China, Xie Haonan-Zeng Wei Han.