fb fb fb fb fb

Hakim Danish mampu 'gegarkan' SIC - Damok

Damok optimis tidak mustahil untuk Hakim Danish melakar kejutan /Foto RTM

SUNGAI LONG, 23 Oktober – Bekas pelumba Moto3 negara, Syarifuddin Azman optimis pelumba negara, Hakim Danish Ramli mampu meraih keputusan positif dalam penampilan sulungnya di Grand Prix Malaysia 2025.

Menurut Syarifuddin atau lebih dikenali sebagai Damok, peluang beraksi di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) menerusi tiket wildcard adalah ruang terbaik untuk Hakim Danish membuktikan keupayaannya di peringkat dunia.

“Ini permulaan yang sangat baik untuk Danish. Saya pernah beraksi sebagai wildcard di Sepang, tetapi tidak mendapat peluang sebaik ini. Ia adalah pengalaman berharga untuknya bersaing dengan pelumba bertaraf dunia,” katanya pada majlis Honda Thanks Day 2025 di sini.

Damok turut menekankan pendedahan awal Hakim Danish bersama pasukan AEON Credit SIC Racing MSI memberi kelebihan, terutama selepas menjalani sesi ujian jentera yang akan digunakan dalam perlumbaan.

Dia percaya jika pelumba berusia 18 tahun itu mengekalkan ketenangan dan fokus, tidak mustahil untuknya meraih mata pertama dalam Kejuaraan Dunia Moto3.

“Dia pernah berlumba dalam Red Bull Rookies Cup dan JuniorGP, tetapi saingan di Kejuaraan Dunia lebih mencabar. Namun, kelebihan kerana sudah melakukan ujian memberikan peluang lebih baik untuknya bersaing,” ujar Damok.

Perlumbaan Grand Prix Malaysia 2025 akan berlangsung hujung minggu ini di SIC.

MUHAMMAD 'AZAMUDDIN HUSSAIN