PETALING JAYA, 22 Oktober - Kejohanan Ragbi Cobra 10 Sebelah (C10s) 2025 bakal diberi nafas baharu apabila dua kategori tambahan wanita dan veteran bawah 40 tahun diperkenalkan pada edisi ke-52 yang akan berlangsung di Padang Astaka dari 1 hingga 2 November ini.
Presiden Kelab Ragbi Cobra, Darryll Sinnappa, berkata penambahan kategori itu mencerminkan komitmen penganjur memperkukuh nilai inklusif, kepelbagaian dan penyertaan sepanjang hayat dalam sukan ragbi.
"Sebab utama kami memperkenalkan kategori baharu ini adalah kerana kami melihat minat yang semakin meningkat, khususnya dalam kalangan wanita. Kami percaya kepelbagaian amat penting dalam sukan ragbi.
"Jadi, kami memutuskan untuk menjadikan C10s sebagai model festival ragbi yang menawarkan kejohanan menyeluruh merangkumi kategori veteran, wanita, lelaki elit dan remaja," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata, edisi kali ini turut menghimpunkan 12 pasukan dari tujuh negara termasuk Malaysia, United Kingdom, Australia, New Zealand, Samoa, Papua New Guinea dan Afrika Selatan yang akan bersaing dalam kategori elit lelaki.
Antara pasukan tempatan yang akan beraksi ialah Kelab Ragbi Cobra, KL Tigers, SSTMI Tsunami, MPSJ Knight, Royal Town Warriors dan KRAS Rugby.
"Penyertaan mereka menyerlahkan prestij serta tahap kompetitif Kejohanan Ragbi Cobra 10 Sebelah," katanya.