fb fb fb fb fb

Deaflympics Tokyo 2025: Format baharu uji kemampuan skuad boling pekak negara

Ketua jurulatih skuad Tenpin Boling Orang Pekak Negara, Joey Tay/RTM

PETALING JAYA, 22 Oktober -Skuad tenpin boling orang pekak negara bakal berdepan cabaran baharu di Deaflympics Tokyo 2025 susulan pelaksanaan format baharu pertandingan yang diperkenalkan oleh Persekutuan Boling Antarabangsa (IBF).

Ketua jurulatih, Joey Tay, berkata perubahan kepada "world format" di bawah Persekutuan Boling Antarabangsa (IBF) menjadikan setiap pemain perlu tampil konsisten dalam setiap balingan.

“Format tahun ini lebih mencabar. Dulu kalau seorang pemain kurang menjadi, tiga lagi boleh bantu.

Tapi sekarang tak boleh, setiap pemain kena berada pada tahap sama kerana satu permainan hanya dua balingan setiap seorang,” katanya ketika ditemui semasa sesi latihan pasukan di sini hari ini.

Menurut Joey, format terdahulu membolehkan atlet bermain enam perlawanan penuh dalam acara individu, berpasangan dan berpasukan sekali gus memberi kelebihan kepada pasukan yang konsisten.

Namun berdasarkan format terbaharu, kesilapan kecil seperti gagal melakukan balingan 'spare' atau strike boleh menyebabkan kekalahan.

"Kalau salah satu pemain tak dapat spare atau strike, team boleh kalah.

"Jadi kami banyak fokus pada latihan balingan spare sebab itu yang paling penting," katanya

Meskipun berhadapan cabaran, Joey opimis terhadap kemampuan anak buahnya untuk memburu pingat emas khususnya dalam acara berpasukan dan campuran.

"Saya tengok pasukan kita boleh dikatakan seimbang. Kalau ikut potensi, peluang pingat kilauan emas tu mungkin datang dari acara lelaki.

"UAE dan Korea antara pencabar utama, tapi kita masih ada peluang," tambahnya.

Skuad boling orang pekak negara akan bersaing dalam tujuh acara keseluruhan, dengan latihan kini menumpukan pada corak oiling pattern sepanjang 45 kaki yang akan digunakan di Tokyo.

Pada edisi ke-24 Deaflympics di Caxias do Sul, Brazil, Malaysia meraih pingat perak dalam acara berpasukan lelaki.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD