KUALA LUMPUR, 22 Oktober - Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan Ryt Bank sebagai Rakan Perbankan Digital Rasmi dan Rakan Rasmi Teknologi video bantuan pengadil (VAR) Liga Malaysia (Liga-M).
MFL dalam kenyataan memaklumkan kerjasama strategik dengan bank pertama di dunia yang dikuasakan oleh kecerdasan buatan (AI) itu menandakan usaha bersama antara dunia kewangan digital dan industri bola sepak tempatan yang bakal menyaksikan gabungan teknologi, inovasi dan semangat nasional untuk memacu Liga-M melangkah ke depan.
Menurut Presiden Malaysian Football League (MFL) Datuk Ab Ghani Hassan, kolaborasi pertama di antara MFL dan bank digital Ryt Bank memberi mesej jelas bahawa semua berkongsi aspirasi sama untuk melonjakkan lagi martabat liga profesional negara.
"Kami amat mengalu-alukan kehadiran Ryt Bank sebagai sebahagian daripada keluarga MFL. Perkongsian ini mencerminkan arah baharu Liga Malaysia – yang lebih moden, profesional dan berpaksikan inovasi.
"Kami juga percaya melalui Kerjasama strategik bersama Ryt Bank ini, ia memberi mesej jelas bahawa Liga Malaysia terus menjadi destinasi buat syarikat-syarikat korporat dalam membina dan mendekatkan jenama mereka dengan rakyat Malaysia.
"Kerjasama ini turut menyuntik semangat baharu MFL sebagai pengelola liga bola sepak profesional negara untuk mengukuhkan lagi tahap pengurusan dan daya saing Liga Malaysia agar dapat menarik minat lebih banyak penyertaan syarikat korporat dalam menyokong pembangunan bola sepak tanah air khususnya Liga Malaysia," menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Ryt Bank Melvin Ooi berkata sebagai rakan rasmi teknologi VAR, pihaknya berbangga dapat menyokong ketelusan dan keadilan dalam sukan yang paling dekat di hati rakyat.
"Kerjasama ini membuktikan bahawa apabila teknologi dan semangat rakyat bergabung, kita semua mampu untuk buat perkara yang betul (do the Ryt thing) untuk sukan, untuk negara," katanya.
Melalui produk seperti Ryt AI, Simpanan dengan faedah harian yang tinggi, Ryt Card, dan Ryt PayLater, Ryt Bank membina penyelesaian kewangan yang disesuaikan dengan rentak kehidupan sebenar rakyat Malaysia.
Selain itu, menerusi kerjasama itu pelbagai aktiviti menarik turut akan diadakan di stadium terpilih sepanjang perlawanan tertentu bagi mendekatkan lagi hubungan dengan penyokong tempatan, di samping memberikan maklumat yang lebih tepat dan mudah difahami mengenai perbankan digital.