KUALA LUMPUR, 23 Oktober – Chelsea dan Liverpool masing-masing mencatat kemenangan besar dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah awal pagi tadi, mengatasi Ajax dan Eintracht Frankfurt dengan penuh bergaya.
Di Stamford Bridge, Chelsea mengambil kesempatan sepenuhnya selepas kapten Ajax, Kenneth Taylor dilayangkan kad merah seawal minit ke-15, sebelum menewaskan juara empat kali Eropah itu dengan keputusan 5-1.
Pengendali The Blues, Enzo Maresca berjaya mengatur strategi tepat apabila Marc Guiu, Moises Caicedo, Enzo Fernandez dan Estevao masing-masing meledak gol pada babak pertama.
Dua daripadanya dicetak menerusi sepakan penalti.
Tyrique George melengkapkan malam gemilang Chelsea dengan jaringan kelima pada separuh masa kedua.
Kemenangan ini menyaksikan Chelsea mencatat dua kemenangan berturut-turut dalam Kumpulan A, selepas tewas kepada Bayern Munich pada aksi pembukaan.
Sementara itu dalam aksi di Jerman, Liverpool mengakhiri rentetan empat kekalahan berturut-turut dalam semua kejohanan dengan membelasah tuan rumah, Eintracht Frankfurt 5-1.
Tuan rumah bermula garang dengan jaringan Rasmus Kristensen pada minit ke-26, namun Liverpool bangkit menerusi lima gol.
Hugo Ekitike menyamakan kedudukan pada minit ke-35, sebelum ketua pasukan Virgil van Dijk dan Ibrahima Konate masing-masing menjaringkan gol menerusi tandukan berbisa.
Cody Gakpo dan Dominik Szoboszlai menambah dua lagi gol pada separuh masa kedua untuk memastikan kemenangan bergaya buat skuad kendalian Arne Slot itu.
Kejayaan ini menjadi tonik penting buat juara bertahan Liga Perdana Inggeris itu selepas melalui prestasi hambar sejak awal musim. - AFP