JAKARTA, 23 Oktober - Atlet gimnastik Jepun, Daiki Hashimoto melakar sejarah tersendiri apabila menjuarai acara individu all-around lelaki buat kali ketiga berturut-turut pada Kejohanan Dunia Gimnastik Artistik.
Kejohanan yang berlangsung di Indonesia Arena, Jakarta menyaksikan Hashimoto, 24 tahun cemerlang apabila mendominasi acara tersebut dengan skor tertinggi iaitu 85.131 mata sekali gus meraih pingat emas.
Tempat kedua menjadi milik atlet China, Zhang Boheng dengan catatan 84.333 mata manakala Noe Seifert dari Switzerland melengkapkan podium dengan pingat gangsa selepas mengumpul 82.831 mata.
Ini juga adalah pencapaian terbaik Hashimoto selepas pulih daripada kecederaan jari pada tahun lalu.
Sebelum ini Hashimoto turut meraih pingat emas acara individu all-around lelaki pada Kejohanan Dunia Gimnastik Artistik 2022 di Liverpool dan 2023 di Antwerp.
Pada 2024, Kejohanan Dunia Gimnastik Artistik tidak dianjurkan kerana memberi laluan kepada Sukan Olimpik di Paris. - REUTERS