fb fb fb fb fb

Terbuka Malaysia: Shereen, Umar Osman tepati ramalan raih gelaran juara 400 meter

Foto RTM

KUANTAN, 15 Jun- Atlet 400 meter lelaki dan wanita negara tidak berdepan masalah untuk meraih gelaran juara pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang pagi tadi.
 
Shereen Samson Vallabouy dan Umar Osman dilihat mendominasi acara tersebut meninggalkan pesaing lain sehingga ke garisan penamat.
  
Bagi Shereen yang mempunyai misi penting untuk menempah slot untuk beraksi di Sukan Olimpik Paris, catatan 52.44 saat pada hari ini masih belum cukup untuk melayakkan diri ke kejohanan berprestij itu.
 
Justeru, aksi lebih baik perlu dipamerkan pada Terbuka Kazakhstan di Almaty, 23-24 Jun ini adalah peluang terakhir beliau untuk melayakkan diri serta mencatat masa lebih baik.

"Untuk layak, saya perlu mencatatkan masa 50.95 saat. Seperti hari ini, memang tidak capai tetapi saya cuba letakkan sasaran itu. Ini kerana saya pernah rekodkan masa 51.79 saat dalam tempoh dua minggu lalu."

"Saya rasa ini adalah permainan minda kitalah sebagai atlet. Walau bagaimanapun, saya masih ada peluang untuk Terbuka Kazakhstan minggu depan, saya berharap agar saya boleh catatkan masa terbaik bagi rekod peribadi saya," kata Shereen kepada pemberita, hari ini.
 
Ketika ini, Shereen perlu mencatat had kelayakan 50.95 saat yang ditetapkan untuk layak secara automatik selain menempatkan diri dalam kelompok 48 terbaik ranking kelayakan ke Paris sebelum 30 Jun ini.
 
Pada 2 Jun lalu, Shereen memecahkan rekod kebangsaan miliknya ketika menduduki tempat kedua di Music City Track Carnival di Tennessee, Amerika Syarikat.
 
Dia mencatat masa 51.79 saat, mengatasi rekod kebangsaan miliknya sebelum ini 51.80s yang dilakukan di California pada April tahun lalu.

Sementara itu, pemegang rekod 400 meter lelaki kebangsaan, Umar Osman dengan catatan masa hari ini iaitu 46.26 saat, kini sudah bersedia untuk merekodkan catatan masa lebih baik setelah pulih daripada kecederaan pangkal paha, sebelum ini.
 
Atlet dari Johor itu kini sedang bersiap sedia untuk melanjutkan pengajiannya di Universiti Auburn pada pengambilan kedua Ogos depan selepas tertangguh pada Januari lepas susulan kelewatan mendapatkan kelulusan daripada Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan (NCAA).
 
Justeru, catatan masa lebih baik perlu direkodkannya untuk membuktikan kemampuannya dan memperkukuhkan peluang diterima oleh Universiti Auburn di Alabama, Amerika Syarikat (AS).
 
Berdasarkan rekod, Umar antara atlet negara paling menyerlah tahun lalu apabila meraih emas setelah memecahkan rekod kebangsaan pada Sukan SEA Kemboja Mei lalu dengan catatan 46.34 saat.
 
Dia kemudian cemerlang pada Sukan Universiti Dunia di Chengdu, China apabila dua kali memecah rekod kebangsaan iaitu 46.33 saat dan 46.09 saat.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM