KUALA LUMPUR, 12 Januari - Perjalanan beregu lelaki profesional negara Ong Yew Sin-Teo Ee Yi di Terbuka Malaysia, sekali lagi tersekat pada peringkat suku akhir di Arena Axiata di sini, malam ini.
Beregu ranking ke-12 dunia itu, jelas belum menjadi cabaran buat juara edisi 2022 Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dari Jepun, apabila tewas 15-21, 9-21 dalam masa 34 minit.
Ia merupakan kekalahan kelapan buat Yew Sin-Ee Yi dalam 10 pertemuan menentang juara dunia 2021 itu, sekali gus mengulangi nasib sama seperti Terbuka Malaysia 2023 untuk tersingkir pada suku akhir.
Mengulas mengenai perlawanan berkenaan, Yew Sin berkata Hoki-Kobayashi mudah membaca dan mematahkan strategi perlawanan mereka.
“Ia menyebabkan kita tak dapat membuat serangan di depan, dan bertahan pun tak berapa jadi. Kami tak sangka mereka boleh ambil semua pukulan, manakala kami ada melakukan beberapa kesilapan tidak sepatutnya,” katanya sambil mengesahkan mereka tidak akan beraksi pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC).
Ee Yi pula berharap untuk membalas dendam ke atas kekecewaan di hadapan penyokong sendiri, apabila sekali lagi bertemu Hoki-Kobayashi sekali lagi pada pusingan pertama Terbuka India minggu depan.
“Walaupun keputusan untuk sampai suku akhir pada kejohanan berstatus Super 1000 boleh dikatakan permulaan baik dan meningkatkan motivasi kami, namun ia belum cukup kerana kami harapkan untuk pergi lebih jauh. Kami perlu bekerja lebih keras,” katanya yang baru pulih daripada kecederaan lutut kanan.
Yew Sin-Ee Yi mara ke suku akhir selepas menewaskan pasangan nombor lima dunia Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dari Denmark 21-10, 11-21, 24-22, semalam.
Pada aksi separuh akhir esok, Hoki-Kobayashi akan bertemu beregu nombor satu dunia Liang Wei Keng-Wang Chang dari China 16-21, 21-17, 21-18, yang menyingkirkan juara bertahan Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto dari Indonesia.
Bercakap kepada pemberita selepas aksi berkenaan, Fajar-Muhammad Rian yang merupakan pemenang dua pingat gangsa di Kejohanan Dunia, berkata kekalahan mereka antara yang lain kerana gagal mengawal rentak perlawanan pada set kedua dan ketiga.
“Pada set kedua kami terlalu buru-buru untuk memburu mata sehingga tidak dapat mengawal perlawanan, manakala pada set ketiga kami terpancing dengan rentak perlawanan pantas mereka. Sepatutnya kami lebih sabar dan mengawal tempo perlawanan.
“Kami ini ucap terima kasih kepada semua penyokong dari Malaysia dan Indonesia yang memberikan semangat tadi, kami mohon maaf kerana belum cukup bagus,” katanya. - BERNAMA