fb fb fb fb fb

Piala Asia 2023: Malaysia ada kelebihan bertemu Jordan

Pemain pertahanan Harimau Malay, Dion Cools/FOTO RTM

DOHA, 13 Januari - Pemain pertahanan tengah negara, Dion Cools mengakui sudah tidak sabar untuk turun beraksi berdepan Jordan pada Selasa ini pada saingan Piala Asia 2023.

Menurut pemain berusia 26 tahun itu, beliau akan melakukan segalanya bagi membantu skuad Harimau Malaya layak ke pusingan 16 terakhir.

Pemain Buriram United itu juga optimis Malaysia tidak akan terganggu dengan permainan keras dan fizikal yang bakal ditampilkan Jordan.

"Kami mempunyai kualiti daripada sudut kepantasan pemain, ketahanan.

"Para pemain Jordan mungkin mempunyai kelebihan terutamanya daripada saiz dan kekuatan fizikal. Namun, saya tidak begitu bimbang tentang perkara berkenaan.

"Seperti saya katakan, saya akan berbuat apa sahaja bagi memenangi perlawanan", kata Cools yang ditemui ketika sesi latihan pasukan di sini.

Skuad negara kendalian Kim Pan Gon juga akan berdepan Bahrain dan Korea Selatan dalam saingan kumpulan E.

Ini merupakan penampilan keempat Malaysia dalam Piala Asia selepas layak secara merit pada 1976 di Iran, 1980 di Kuwait dan sebagai tuan rumah bersama pada 2007.

Bagaimanapun skuad negara tidak pernah mara ke pusingan 16 pasukan terbaik dalam kejohanan berkenaan.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD