KUALA LUMPUR, 12 Januari - Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyumbangkan sebanyak RM99,845 daripada hasil jualan tiket perlawanan antarabangsa skuad Harimau Malaya kepada Tabung Selamatkan Harimau Malaya hari ini.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, replika cek sumbangan tersebut diserahkan oleh FAM kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
“Jumlah keseluruhan sumbangan kepada tabung ini setelah dilancarkan pada Mac 2023 ialah RM131,408 daripada enam perlawanan antarabangsa Harimau Malaya.
“Kutipan sumbangan ini hasil jualan tiket tiga perlawanan antarabangsa pasukan Harimau Malaya yang berlangsung pada Oktober dan November 2023 yang mana RM1 setiap tiket disumbangkan kepada tabung ini," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Hannah Yeoh berkata, kolaborasi KBS dan FAM itu menjadi saksi kepada satu bukti konklusif dengan kedua-dua organisasi turut menitikberatkan hidupan liar khususnya harimau Malaya yang merupakan haiwan ikonik Malaysia yang kini kian terancam.
Turut hadir, Timbalan Presiden FAM Datuk Mohd Yusoff Mahadi dan Timbalan Ketua Pengarah Operasi Perhilitan Datuk Hasnan Yusop.