KUALA LUMPUR, 28 November - Peminat badminton boleh membeli tiket untuk menyaksikan kejohanan Terbuka Malaysia 2025 bermula 9.00 pagi, hari ini.
Kejohanan pembuka tirai siri Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) itu akan diadakan di Axiata Arena Bukit Jalil pada 7 hingga 12 Januari depan.
Barisan pemain terkemuka dunia, termasuk pemain terbaik dari Malaysia, akan tampil beraksi untuk merebut kejuaraan dalam kejohanan berstatus Super 1000 yang pertama musim depan.
“Kami menggalakkan peminat badminton yang ingin menyaksikan perlawanan secara langsung di stadium untuk melayari laman web tiket dan mendapatkan tiket secepat mungkin,” kata Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Kenny Goh Chee Keong menerusi hantaran di Facebook rasmi BAM.
Tiket boleh dibeli menerusi pautan http://t2u.asia/e/39413 dengan promosi pelanggan awal yang berlangsung sehingga 23 Disember.