KUALA LUMPUR, 28 November - Sabah FC menepati ramalan mara ke peringkat suku akhir Piala Malaysia 2024/2025 selepas menyingkirkan PT Athletic dengan keputusan agregat 7-0, selepas melakar kemenangan 3-0 pada aksi timbal balik pusingan 16 terbaik di sini, malam tadi.
Pada pertembungan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras itu, Sabah menerima saingan sengit yang menyaksikan kedudukan terikat tanpa jaringan di separuh masa pertama.
Kesabaran skuad Sang Badak dalam memecah kebuntuan gol akhirnya berbalas selepas Abdul Latiff Suhaimi dipersalahkan kerana menjatuhkan Muhammad Farhan Roslan menerusi Video Bantuan Pengadil (VAR), dengan penyerang Darren Lok menyempurnakan penalti pada minit ke-67.
Enam minit kemudian, Sabah menggandakan kedudukan menerusi rembatan pemain tengah Stuart Wilkin yang menerima hantaran Telmo Castanheira.
Penyerang import dari Brazil Joao Pedro melengkapkan kemenangan Sabah menewaskan pasukan semi-pro Liga A1 itu, selepas menjaringkan gol ketiga pasukan menerusi tandukanpada minit ke-81.
Pedro terlepas peluang mencetak jaringan peribadi kedua apabila sepakan penalti kedua yang dihadiahkan kepada Sabah selepas bola terkena tangan pemain lawan, berjaya dinafikan penjaga gol Muhammad Syakir Danial Ma’amal Hajri pada minit ke-83.
Aksi suku akhir pertama dijadual berlangsung pada 13 Disember manakala timbal balik pada 21 Disember.