(Foto: Facebook BAM)
KUALA LUMPUR, 29 Jun- Juara Terbuka Jerman 2022, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Ramsani berjaya mara ke pusingan kedua kejohanan Terbuka Malaysia 2022.
Ini selepas pasangan beregu itu mengenepikan pasangan Jepun, Keiichiro Matsui-Yoshinori Takeuchi dengan 'straights sets' dalam acara beregu lelaki, semalam.
Pada aksi pusingan pertama tersebut, Sze Fei-Nur Izzuddin tidak berdepan masalah untuk mengatasi tekanan lawan mereka apabila menang mudah 21-12, 21-12.
Pasangan ranking ke-12 dunia itu bagaimanapun bakal berdepan cabaran sukar apabila dijadual bertemu pilihan ketujuh dari India, Satwiksairaj Rankiredy-Chirag Shetty di pusingan kedua nanti.
(Foto: Facebook BAM)
Satu lagi beregu lelaki negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi turut melepasi pusingan awal selepas menyingkirkan beregu muda, Wan Arif Wan Junaidi-Muhammad Haikal Nazri 21-19, 21-13.
Mereka yang berada di ranking ke10 dunia, bakal berdepan pencabar hebat dari Taiwan yang juga pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo, Lee Yang-Wang Chi-Lin yang di pusingan kedua.
Beregu wanita negara, Low Yeen Yuan-Valeree Siow turut menempah slot di pusingan kedua selepas menyingkirkan pasangan Jerman, Linda Efler-Isabel Lohau 17-21, 21-16, 21-19.