fb fb fb fb fb

Dipaksa bermain empat set, Nadal tetap kukuhkan kedudukan dalam Kejohanan Wimbledon

(FOTO AFP)

LONDON, 29 Jun- Rafael Nadal berdepan detik cemas di pusingan awal Kejohanan Wimbledon apabila dipaksa bermain dalam empat set sebelum menang ke atas pemain Argentina, Francisco Cerundolo.

Pemain Sepanyol itu turun dalam misi memburu gelaran Grand Slam ketiganya tahun ini di Wimbledon.

Beraksi sebagai pilihan kedua, Nadal memerlukan aksi sehingga ke set keempat untuk menjinakkan pemain ranking ke-42 dunia itu 6-4, 6-3, 3-6, dan 6-4.

Pemain berusia 26 tahun itu tidak beraksi di Wimbledon sejak 2019 dan berehat daripada menyertai beberapa kejohanan pemanas badan sebelum ini akibat kecederaan kaki.

(Aksi pemain Sepanyol, Rafael Nadal selepas berjaya menewaskan pemain Argentina, Francisco Cerundolo
di All England Tennis Club dekat Wimbledon/AFP)

Nadal, yang memenangi 22 gelaran Grand Slam itu memburu gelaran ketiganya musim ini selepas menjuarai Terbuka Australia dan Terbuka Perancis.

Dia dilihat tidak berdepan masalah untuk meneruskan kemaraan apabila dijadual menentang pemain Lithuania, Ricardas Berankis di pusingan kedua.

Sementara itu, pilihan keempat dari Greece, Stefanos Tsitsipas turut dipaksa bermain dalam 4 set sebelum menyingkirkan pemain kelayakan dari Switzerland, Alexander Ritschar 7-6, 6-3, 5-7 dan 6-4.

Dia yang sebelum ini tersingkir di peringkat awal pada dua edisi terakhir Wimbledon, dijadual menentang Jordan Thompson dari Australia di pusingan kedua esok. -AFP

Media Baharu