LONDON, 29 Jun- Penyerang Liverpool, Takumi Minamino melengkapkan perpindahan kekal ke kelab Perancis, AS Monaco dengan yuran sekitar £15.5 juta pound (RM83.04 juta).
Pemain kelahiran negara matahari terbit itu, diikat selama empat tahun dengan pasukan Ligue 1 itu selepas dua setengah tahun di Liverpool selain setahun dipinjamkan ke Southampton.
Pemain berusia 27 tahun itu membuat 55 penampilan dan menjaringkan 14 gol dalam semua kejohanan ketika berada di Anfield.
Produk remaja Cerezo Osaka itu menghabiskan lima tahun di kelab liga utama Austria, Salzburg sebelum berhijrah ke England.
AS Monaco menamatkan Ligue 1 di tangga ketiga musim lalu melayakkan mereka ke Liga Juara-Juara.
Sementara itu, pengendali skuad The Reds, Jurgen Klopp amat berbangga dengan pencapaian Minamino selain menjadi aset utama Liverpool dalam membantu pasukan bersaing ketika dunia diserang pandemik COVID-19.
"Dia mempunyai segala-galanya dan dia telah beri yang terbaik kepada pasukan kami. Taki masuk, dalam masa yang sukar, ketika pandemik COVID-19 menyerang dunia. Saya sangat gembira untuknya. Dia seorang pemain berkelas dunia," kata Klopp.- REUTERS
(FOTO REUTERS)