MADRID, 3 Mei – Pemain muda Britain, Jack Draper, mara ke final Terbuka Madrid selepas menewaskan Lorenzo Musetti 6-3, 7-6(7-4).
Dia bakal menentang bintang Norway, Casper Ruud yang menewaskan Francisco Cerundolo dalam separuh akhir penuh drama.
Ruud yang sebelum ini tewas dalam dua final Masters 1000, menundukkan Cerundolo 6-4, 7-5 meskipun mengalami kesakitan dada dan belakang, sekali gus mengesahkan penampilan ketiganya di pentas akhir kejohanan elit itu.
“Saya tidak pasti mampu menamatkan perlawanan tadi. Tapi selepas rawatan dan sokongan pasukan, rasa lega itu muncul. Harap ia bukan kecederaan serius,” ujar Ruud yang kini di landasan kembali ke kelompok 10 pemain terbaik dunia.
Draper pula meneruskan rekod sempurna ke atas Musetti dengan kemenangan keempat dalam pertemuan mereka, hasil permainan mantap dengan 20 pukulan kemenangan dalam tempoh dua jam.
"Casper pemain berpengalaman, pernah masuk dua final Grand Slam. Saya perlu beraksi pada tahap terbaik untuk mencabarnya,” kata Draper yang sebelum ini menjuarai Indian Wells dan dijangka menyertai kelompok lima teratas dunia minggu depan.
Kedua-duanya kini memburu gelaran Masters 1000 pertama mereka dalam pertemuan Ahad ini di gelanggang tanah liat ikonik Manolo Santana.