XIAMEN, 3 Mei-Tuan rumah dan juara bertahan, China, menempah tempat ke separuh akhir Piala Sudirman selepas menewaskan Malaysia 3-0 pada Jumaat, sekali gus bakal berdepan Jepun yang turut mara selepas mengatasi Taiwan dengan keputusan yang sama.
Korea Selatan dan Indonesia pula akan bertemu dalam satu lagi perlawanan separuh akhir selepas masing-masing mencatat kemenangan 3-1 ke atas Denmark dan Thailand dalam kejohanan berpasukan campuran dwitahunan itu.
Dalam aksi ulangan temasya Olimpik, pasangan beregu campuran China, Feng Yanzhe dan Huang Dongping, menebus kekalahan mereka di Sukan Olimpik Paris apabila menewaskan gandingan Malaysia, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei, dengan keputusan 21-17, 21-17 dalam perlawanan pembukaan.
Pemain perseorangan lelaki nombor satu dunia, Shi Yuqi, kemudian mempamerkan aksi bertenaga apabila menewaskan Leong Jun Hao 21-6, 21-14, sebelum juara Olimpik Tokyo, Chen Yufei, melengkapkan kemenangan bersih dengan kemenangan bergaya 21-8, 21-7 ke atas Letshanaa Karupathevan dalam acara perseorangan wanita.
Sementara itu, Jepun pula mengambil masa tiga jam untuk menundukkan Taiwan. Hiroki Midorikawa dan Arisa Igarashi memeberikan mata pertama buat Negara 'Matahari Terbit' itu dalam beregu campuran 21-18, 21-18 ke atas Ye Hong-wei dan Hu Ling-fang.
Koki Watanabe pula mencatat kemenangan sengit 21-13, 20-22, 21-14 ke atas Chou Tien-chen, sebelum Akane Yamaguchi mengesahkan kemaraan Jepun ke separuh akhir buat kali keenam berturut-turut selepas menewaskan Hsu Wen-chi dalam perseorangan wanita.
Dalam pada itu, satu-satunya wakil Eropah, Denmark tewas kepada Korea Selatan dalam saingan suku akhir.
Korea mendahului menerusi kemenangan pasangan beregu campuran Seo Seung-jae dan Chae Yu-jung yang menewaskan Jesper Toft dan Amalie Magelund, diikuti perseorangan wanita An Se-young yang mudah menumpaskan Line Kjaersfeldt 21-8, 21-7.
Denmark cuba bangkit apabila Anders Antonsen mencatat kemenangan sukar ke atas Jeon Hyeok-jin dalam perseorangan lelaki.
Namun, pasangan beregu wanita Korea, Baek Ha-na dan Lee So-hee, memastikan kemenangan Korea selepas menewaskan Alexandra Boje dan Natasja Anthonisen dengan aksi dominan.
Indonesia pula mengesahkan slot separuh akhir terakhir selepas menewaskan Thailand. Walaupun tewas dalam perlawanan pembukaan, skuad Indonesia bangkit dengan memenangi tiga perlawanan berturut-turut untuk melengkapkan kemenangan 3-1.-REUTERS.