JEDDAH, 3 Mei-Pemain sayap Al-Ahli, Riyad Mahrez, menggesa rakan sepasukannya agar berwaspada ketika kelab Liga Pro Saudi itu bersiap sedia untuk memburu gelaran sulung Liga Juara Asia Elit pada hari Sabtu dengan kemenangan ke atas kelab Jepun, Kawasaki Frontale.
Kelab yang berpangkalan di Jeddah itu akan membuat penampilan ketiga di pentas akhir selepas mengalami kekalahan di perlawanan akhir tahun 1986 dan 2012.
Kali ini, mereka memiliki kelebihan beraksi di hadapan penyokong sendiri di Stadium Bandar Sukan Raja Abdullah di sini.
Walaupun skuad Al-Ahli dibarisi pemain bertaraf bintang seperti Mahrez, Roberto Firmino, Ivan Toney dan Franck Kessie, Mahrez menegaskan adalah penting buat pasukan berkenaan mengambil kesempatan untuk dinobatkan sebagai juara di laman sendiri.
"Kami perlu memanfaatkan peluang ini sepenuhnya dan tidak mengambil mudah lawan. Ini adalah peluang keemasan untuk mencipta sejarah buat kelab," kata Mahrez.
Terdahulu, Al-Ahli menumpaskan kelab senegara, Al-Hilal 3-1 pada saingan separuh akhir.Manakala kelab Jepun Kawasaki Frontale menumpaskan Al-Nassr 3-2 di satu lagi separuh akhir.
Pemenang bakal membawa pulang AS$10 juta, manakala naib juara pula meraih AS$4 juta.-REUTERS.