fb fb fb fb fb

656 atlet antarabangsa sertai Kejohanan Pickleball Summit 2025

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh / Foto Facebook Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR, 3 Mei 2025 – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyambut baik penganjuran Pickleball Summit 2025 dan Alliance Bank KL Open Pickleball Championship 2025, sebagai satu usaha penting dalam memperkukuh budaya sukan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dalam kenyataan di Facebooknya berkata, acara tersebut merupakan satu inisiatif bernilai seiring dengan aspirasi kerajaan untuk merakyatkan sukan serta menggalakkan penyertaan menyeluruh pelbagai lapisan

“Sebagai kementerian yang komited dalam memacu perkembangan holistik sukan negara, kami menyambut baik usaha semua pihak dalam menganjurkan aktiviti yang menyumbang kepada pengukuhan budaya sukan dalam kalangan rakyat Malaysia,” jelas Hannah menerusi kenyataan tersebut.

Jelasnya, kejohanan itu menarik penyertaan seramai 656 atlet dari 13 negara, menjadikannya platform penting bagi bakat tempatan dan antarabangsa untuk menonjolkan kemampuan masing-masing, selain memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab sukan inovatif di rantau ini.

“Kejohanan ini bukan sahaja menjadi platform untuk atlet tempatan dan antarabangsa menyerlahkan bakat, malah mencerminkan komitmen Malaysia dalam menyokong perkembangan sukan baharu,” tambah Hannah.

Hannah turut berkata KBS turut menzahirkan penghargaan terhadap kerjasama pelbagai pihak berkepentingan dalam menjayakan acara berkenaan, dengan penekanan terhadap prinsip inklusiviti dan kesaksamaan, selaras dengan dasar sukan negara.

“Kami menghargai kerjasama strategik pihak-pihak berkepentingan lain dalam merealisasikan acara seumpama ini sambil mengekalkan prinsip inklusiviti dan kesaksamaan,” ujar kenyataan itu lagi.

Dalam usaha mempelbagaikan pilihan aktiviti fizikal untuk rakyat, KBS turut memberi perhatian serius kepada pembangunan sukan baharu seperti pickleball.

Dengan lebih 1,400 gelanggang sukan inovatif yang boleh diakses di seluruh negara, KBS yakin langkah berkenaan akan menyokong agenda nasional untuk membentuk masyarakat yang sihat, bersatu padu dan kompetitif.

“KBS kekal teguh dalam memberi sokongan kepada semua persatuan sukan termasuk sukan baharu seperti pickleball, demi mempelbagaikan pilihan aktiviti fizikal rakyat,” tegas kenyataan itu.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD