KUALA LUMPUR 10 Februari- Pengorbanan skuad taekwondo negara menyambut Tahun Baharu Cina beribu batu jauh daripada keluarga tersayang berbaloi apabila mereka berjaya meraih satu emas, satu perak dan satu gangsa pada aksi Terbuka Kanada 2024 menerusi disiplin poomsae awal pagi tadi.
Emas dituai menerusi acara berpasukan lelaki yang dibarisi Jason Loo, Ken Haw Chin dan Randy Owen Augustine Linggi selepas meraih 8.449 mata, mengatasi Amerika Syarikat di tempat kedua manakala wakil tuan rumah meraih gangsa dengan 8.049.
Pasukan wanita bagaimanapun terpaksa berpuas hati dengan pingat perak.
Meskipun meraih jumlah mata yang sama dengan pemenang pingat emas Mexico (8.199), skuad wanita yang dibarisi Nur Humaira Abdul Karim, Wong Zin dan Seah Jin Ying terpaksa akur selepas dibezakan 0.5 markah persembahan bagi penentuan juara.
Gangsa pula menjadi milik pasukan Kanada.
Sementara itu dalam poomsae berpasangan campuran, Malaysia merangkul gangsa menerusi gandingan Randy Owen-Jin Ying yang mencatatkan 8.282 mata keseluruhan.
Emas dimenangi wakil tuan rumah Kanada Ivan Leung-Cheuk Holly Hoi Ling dengan 8.582 mata manakala perak dimenangi Ryan Real-Kryn Real (8.366) dari Amerika Syarikat.
Kejohanan Terbuka Kanada berlangsung selama tiga hari bermula 8 hingga 10 Februari di Vancouver, British Columbia.