fb fb fb fb fb

Terbuka Jepun: Pearly-Thinaah mara ke pentas akhir

Foto Facebook BAM

TOKYO, 19 Julai – Beregu utama wanita negara Pearly Tan-M. Thinaah mencipta sensasi apabila menamatkan dominasi pasangan tuan rumah, Nami Matsuyama-Chiharu Shida, untuk mara ke pentas akhir Terbuka Jepun 2025.

Beraksi di Gimnasium Metropolitan Tokyo, pasangan negara itu mempamerkan persembahan bertenaga dan penuh keyakinan untuk menundukkan pilihan kedua kejohanan berkenaan dengan keputusan straight set 21-13, 21-11 dalam masa hanya 35 minit.

Kemenangan tersebut sekali gus memadam rekod buruk kekalahan dalam 13 daripada 15 pertemuan sebelum ini, serta menyalakan kembali harapan Malaysia dalam acara beregu wanita, dengan Pearly-Thinaah kini dianggap antara pencabar utama gelaran.

Lebih manis, kejayaan itu turut menjadi penebus maruah selepas kekalahan sebelum ini kepada gandingan Jepun itu termasuk dalam saingan Piala Sudirman.

Ia juga merupakan kemenangan pertama Pearly-Thinaah ke atas pasangan berkenaan sejak Terbuka Perancis 2022.

Sekiranya berjaya melakar kemenangan di perlawanan akhir, Pearly-Thinaah akan mencatat sejarah sebagai beregu wanita pertama negara menjuarai kejohanan berprestij itu sejak ia diperkenalkan pada tahun 1982.

Di pentas akhir, mereka akan menentang sama ada pasangan Liu Sheng Shu-Tan Ning atau pilihan utama dari China, Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian yang akan beraksi dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Sementara itu, cabaran Malaysia dalam kategori beregu campuran berakhir apabila gandingan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei tewas kepada pilihan dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin, dengan keputusan 12-21, 16-21.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD