KUALA LUMPUR, 19 Julai – Usaha merancakkan pembangunan sukan berprestasi tinggi negara bakal diperkukuh menerusi penubuhan Dana Amanah Sukan Negara, yang dijangka dilancarkan selewat-lewatnya pada suku pertama 2026.
Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, dana tersebut dirangka sebagai mekanisme sokongan jangka panjang untuk sukan elit negara serta mengurangkan kebergantungan kepada peruntukan tahunan kerajaan.
Menurutnya, dana tersebut akan berfungsi sebagai platform pelaburan alternatif melibatkan penyertaan sektor swasta, tokoh korporat serta individu berkemampuan melalui sumbangan yang berasaskan insentif.
"Sukan adalah satu bidang yang penuh dengan semangat, dan ia digerakkan oleh individu yang benar-benar berjiwa sukan serta bersemangat tinggi dalam menerajui organisasi mereka.
"Ada dalam kalangan mereka yang sudah mempunyai hala tuju jelas ke temasya Olimpik dan Sukan Asia, yang mungkin berada di luar skop kawalan MSN atau KBS, namun boleh disokong melalui Dana Amanah ini.
"Dana ini mesti diurus dan ditadbir secara profesional dengan tadbir urus yang telus dan berintegriti", jelasnya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif MOM ke-213 di Akademi Badminton Malaysia (ABM), di sini hari ini.
Tambah beliau, struktur tadbir urus dana akan digubal oleh kumpulan perunding profesional bagi memastikan pelaksanaannya telus, cekap dan bebas daripada pengaruh politik.
Jelas Norza, antara insentif yang akan dicadangkan termasuk pelepasan cukai berganda dan sumbangan berdasarkan peratusan hasil syarikat yang menyumbang kepada dana berkenaan.
Dana berkenaan juga dijangka menjadi penyelamat kepada persatuan sukan kebangsaan (NSA) yang berdepan kekangan tajaan serta menyokong kebajikan atlet pelapis dan elit dalam temasya seperti Olimpik dan Sukan Asia.
Pelaksanaan Dana Amanah ini selari dengan usaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN) dalam memperkukuh ekosistem pembangunan sukan negara secara menyeluruh.