fb fb fb fb fb

Seminar dan Sukan Awam kukuh jalinan dua hala Malaysia-Singapura

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar/Foto JPM

PUTRAJAYA, 19 Julai – Hubungan dua hala Malaysia dan Singapura terus diperkukuh melalui penganjuran Seminar Bersama Pegawai Kanan Sektor Awam ke-10 dan Sukan Perkhidmatan Awam ke-41 yang berlangsung di Singapura dari 18 hingga 20 Julai 2025.

Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam kenyataan memaklumkan kedua-dua program tersebut menjadi simbolik kepada komitmen bersama dalam memperkukuh hubungan strategik dan profesional antara perkhidmatan awam kedua-dua negara.

Penganjuran kali ini menyambung tradisi pelaksanaan secara bergilir, selepas kali terakhir ia dihoskan Malaysia pada tahun 2018.

Seminar tahun ini membawa tema “Peneraju Perubahan: Perkhidmatan Awam yang Dipercayai dan Berkesan untuk Abad ke-21”, dengan memberi tumpuan kepada tiga teras utama – Reformasi Ekonomi dan Regulasi, Reformasi Sosial, dan Reformasi Sektor Awam.

“Ketiga-tiga tumpuan ini dijangka menjadi pemangkin kepada sebuah perkhidmatan awam yang tangkas, berdaya saing dan berimpak tinggi,” kata JPM dalam kenyataan.

Delegasi Malaysia diketuai oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, bersama pegawai kanan Kerajaan Persekutuan dan Negeri, manakala delegasi Singapura pula diketuai oleh Leo Yip, Ketua Perkhidmatan Awam Singapura.

Selain seminar, acara Sukan Perkhidmatan Awam ke-41 turut berlangsung dalam suasana muhibah menerusi dua acara sukan iaitu boling dan ping-pong yang menyemarakkan lagi semangat kesukanan antara kedua-dua delegasi.

JPM menyatakan keyakinan bahawa penganjuran bersama ini bukan sahaja menyatukan pemikiran strategik, malah turut memperkukuh jaringan profesional yang memberi impak kepada peningkatan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD