TOKYO, 18 Julai - Beregu profesional negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi meneruskan kemaraan di Kejohanan Badminton Terbuka Jepun dengan menumbangkan gandingan nombor enam dunia dari China, Liang Wei Kang-Wang Chang pada aksi suku akhir hari ini.
Pasangan di ranking ke-30 dunia itu mara ke separuh akhir dengan kemenangan 25-23, 21-19 dalam tempoh 41 minit.
Ong Yew Sin-Teo Ee Yi menumpaskan Liang Wei Kang-Wang Chang 25-23, 21-19 - Foto BAM
Mereka bakal berdepan beregu nombor tiga dunia, Kim Won Ho-Seo Seung Jae dari Korea Selatan esok.
Terdahulu Won Ho-Seung Jae melangkah ke separuh akhir dengan menumpaskan wakil Malaysia, Man Wei Chong-Tee Kai Wun 21-13, 18-21 dan 21-13 dalam masa 55 minit.
Yew Sin-Ee Yi sebelum ini mengejutkan rakan senegara yang juga beregu nombor dua dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik pada pusingan pertama kejohanan.
Sementara itu, turut meneruskan rentak cemerlang beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan-M Thinaah yang mara ke separuh akhir dalam misi mereka memburu gelaran kedua musim ini.
Pearly Tan-M Thinaah menang 21-15, 21-19 ke atas Jeung Na Eun-Lee Yeon Woo - Foto BAM
Gandingan negara itu, menumpaskan beregu Korea Selatan, Jeung Na Eun-Lee Yeon Woo dengan keputusan 21-15, 21-19.
Kemenangan ini juga adalah yang ketiga berturut-turut Pearly-Thinaah ke atas Na Eun-Yeon Woo selepas menewaskan mereka di Masters Orleans pada Mac lalu dan final Terbuka Thailand, Mei lalu.
Beregu wanita negara itu akan berdepan pasangan nombor dua dunia dari Jepun, Nami Matsuyama-Shiharu Shida esok.
Matsuyama-Shida mara ke separuh akhir selepas menundukkan pasangan Korea Selatan, Kim Hye Jeong-Kong Hee Yong 19-21, 21-19 dan 21-18.