KUALA LUMPUR, 18 Julai – Skuad luncur ombak negara menyasarkan untuk mara ke peringkat suku akhir dalam Kejohanan Asian Surfing Federation (ASF) 2025 yang dijadual berlangsung di Mahabalipuram, Tamil Nadu, India dari 3 hingga 12 Ogos ini.
Dibimbing jurulatih kebangsaan, Muhammad Muttakin Talib, skuad negara mempertaruhkan enam atlet elit – tiga lelaki dan tiga wanita – berdasarkan prestasi konsisten mereka sepanjang musim 2024 dan 2025 dalam kejohanan elit tempatan.
Antara yang menjadi tumpuan ialah atlet warisan negara, Lucas Santiago, yang akan beraksi dalam dua kategori: Terbuka Lelaki dan Terbuka Shortboard Junior.
“Kita pilih mereka berdasarkan prestasi semasa, dan mereka telah menunjukkan konsistensi yang membanggakan. Mereka layak membawa cabaran negara ke peringkat Asia,” kata Muttakin pada sidang media anjuran Persatuan Luncur Ombak Malaysia (PLOM) di sini, hari ini.
Tambahnya, kejohanan itu juga merupakan medan kelayakan penting ke Sukan Asia ke-20 di Aichi, Nagoya, dan seterusnya memberi laluan ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
Skuad negara kini berada dalam fasa akhir latihan di Cimaja, Indonesia, sebuah lokasi yang dipilih kerana memiliki ombak kanan yang menyerupai kondisi di Mahabalipuram.
“Latihan di Cimaja sangat penting sebab ombak kanan di sana hampir sama dengan ombak di India. Atlet kita perlu sesuaikan diri terlebih dahulu sebelum turun beraksi di kejohanan sebenar,” jelasnya.
Dalam edisi terdahulu yang berlangsung di Maldives, dua atlet Malaysia berjaya mencipta kejutan apabila mara ke peringkat suku akhir, menewaskan wakil dari Korea Selatan, Jepun dan China – satu pencapaian penting yang dijadikan motivasi utama untuk edisi kali ini.
Mona Rasidah Abdul Rashid (kiri) dan Lucas Santiago (kanan)
Sementara itu, atlet wanita negara, Mona Rasidah Abdul Rashid, optimis semangat berpasukan dan pengalaman menjadi kekuatan utama skuad negara.
“Kami tahu persaingan akan sangat sengit, tetapi kami sudah bersedia. Dengan semangat juang dan latihan intensif yang kami jalani, kami akan berikan segalanya untuk negara,” katanya.
Bagi Lucas, sasaran peribadi tetap tinggi, namun beliau kekal realistik terhadap cabaran yang bakal dihadapi.
“Persaingan akan sengit. Tapi kami semua dalam pasukan akan berikan yang terbaik. Kalau dapat layak ke Sukan Asia, itu satu kelebihan besar buat saya,” ujarnya.