fb fb fb fb fb

Cabaran Wei Chong-Kai Wun di Terbuka Jepun tamat di suku akhir

FOTO Badminton Association of Malaysia - BAM

TOKYO, 18 Julai – Harapan Malaysia dalam acara beregu lelaki di Kejohanan Badminton Terbuka Jepun 2025 berakhir selepas gandingan Man Wei Chong-Tee Kai Wun tersingkir di peringkat suku akhir.

Dalam aksi berlangsung di Gimnasium Metropolitan Tokyo, pasangan negara tewas kepada pilihan kedua kejohanan dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae, dengan keputusan 13-21, 21-18, 13-21 dalam pertarungan sengit selama 55 minit.

Walaupun bangkit memenangi set kedua, kekuatan dan konsistensi regu Korea menafikan kemaraan skuad negara ke separuh akhir.

Kekalahan itu sekali gus menamatkan cabaran beregu lelaki Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas dua pasangan lain; Aaron Chia-Soh Wooi Yik serta Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King tersingkir lebih awal di pusingan pertama.

Sementara itu, beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie turut akur di peringkat suku akhir.

Pasangan ranking ke-14 dunia itu hampir mengheret perlawanan ke set penentuan selepas mendahului 20-19 di set kedua, namun gagal menutup permainan dan tewas 13-21, 21-23 kepada gandingan China, Jiang Zhenbang-Wei Yaxin.

Kekalahan itu turut menafikan peluang untuk menyaksikan pertembungan sesama Malaysia di separuh akhir menentang Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE