SOLO, 18 Julai - Skuad remaja badminton negara memulakan kempen Kejohanan Badminton Remaja Asia (BAJC) 2025 dengan langkah kanan apabila mencatat kemenangan bergaya menewaskan Macau 110-59 dalam aksi pembukaan Kumpulan B yang berlangsung di Stadium Tertutup Manahan, Solo hari ini.
Kemenangan itu menyaksikan barisan muda negara menguasai sepenuhnya format baharu kejohanan yang memperuntukkan 10 perlawanan dalam setiap pertemuan, merangkumi dua perlawanan bagi setiap kategori iaitu perseorangan lelaki, perseorangan wanita, beregu lelaki, beregu wanita dan beregu campuran.
Setiap perlawanan dimainkan sehingga 11 mata dan pasukan pertama yang berjaya mengumpul 110 mata akan diisytihar sebagai pemenang. Hanya pasukan yang muncul juara kumpulan akan melangkah ke peringkat suku akhir.
Malaysia dijadual meneruskan cabaran kumpulan menentang Myanmar dan Singapura esok, dengan harapan mengekalkan momentum positif yang telah dimulakan dalam aksi sulung hari ini.
Skuad remaja negara sebelum ini meraih pingat gangsa dalam edisi terdahulu yang berlangsung di Yogyakarta.
Sementara itu, pusingan berpasukan akan berlangsung sehingga 21 Julai, manakala kejohanan individu dijadual bermula 23 hingga 27 Julai ini.