LONDON, 18 Julai - Bekas penyerang Wolverhampton Wanderers, Diogo Jota, yang terkorban dalam kemalangan jalan raya bersama adiknya, Andre Silva di Sepanyol pada 3 Julai lalu, telah disenarai masuk ke dalam Dewan Kemasyhuran kelab tersebut.
Pemain antarabangsa Portugal berusia 28 tahun itu, yang baru menjuarai Liga Perdana Inggeris bersama Liverpool, memulakan kerjaya bola sepaknya di England di Stadium Molineux, gelanggang tuan rumah Wolverhampton Wanderers, dengan menjaringkan 44 gol dalam 131 penampilan dari 2017 hingga 2020.
Sebagai penghargaan terhadap sumbangannya kepada kelab, Wolves mengiktiraf Jota dengan menyenaraikannya dalam Dewan Kemasyhuran, yang dikendalikan secara bebas oleh sebuah jawatankuasa.
“Tragedi ini amat menyedihkan dan sukar dipercayai, maka kami ingin memberi penghormatan ini secepat mungkin,” kata Pengerusi Dewan Kemasyhuran Wolves merangkap Naib Presiden kelab, John Richards di laman web rasmi kelab.
“Seperti orang lain, kami amat terkejut dengan kejadian ini, dan kami mengenang kembali betapa hebatnya Jota sebagai pemain Wolves, terutama semasa musim promosi yang tidak dapat dilupakan di bawah bimbingan Nuno serta awal kemunculan semula kami dalam Liga Perdana.
“Rekodnya, 44 gol bersama Wolves dan kemudian 65 gol bersama Liverpool sambil menjuarai Liga Perdana, menceritakan segalanya. Ramai peminat di seluruh dunia, terutama di Portugal selepas beliau membantu pasukan itu menjuarai Liga Negara-Negara musim panas ini, benar-benar merasai kehilangannya. Kami tidak nampak sebarang sebab untuk menangguhkan keputusan ini.
“Kami berharap penghormatan ini dapat sedikit sebanyak mengubat kesedihan keluarga dan sahabat Diogo dan Andre, dan kami percaya penyokong Wolves faham bahawa penghormatan ini dibuat dengan penuh kasih, kekaguman dan justifikasi yang wajar.”
Wolves turut merancang memperingati Jota dalam perlawanan persahabatan di laman sendiri menentang Celta Vigo, serta menentang Manchester City pada perlawanan pembukaan musim baharu.-BERNAMA/PA MEDIA