LAS VEGAS, 18 Julai – Grandmaster (GM) Armenia, Levon Aronian, terus mencipta kejutan apabila menewaskan pemain nombor dua dunia, Hikaru Nakamura dari Amerika Syarikat dalam suku akhir Freestyle Chess Grand Slam yang berlangsung di Wynn Las Vegas.
Kejayaan itu menyusul selepas Aronian menyingkirkan pendahulu siri jelajah, Magnus Carlsen, pada pusingan sebelumnya.
Aronian, 41, yang ketinggalan selepas tewas dalam perlawanan klasik pertama, bangkit menyamakan kedudukan menerusi kemenangan pada perlawanan kedua sebelum menundukkan Nakamura dalam penentuan tiebreak bagi memastikan kemaraan ke peringkat separuh akhir.
Dalam satu lagi aksi suku akhir mendebarkan, GM Amerika Syarikat, Fabiano Caruana, turut menempah slot ke separuh akhir selepas mengharungi pertarungan selama hampir 10 jam menentang bintang muda India, Rameshbabu Praggnanandhaa.
Foto Reuters
Caruana yang tewas dalam perlawanan pertama, mempamerkan kebangkitan dramatik apabila memaksa tiebreak sebelum menewaskan lawannya dalam permainan Armageddon.
Sementara itu, pemain kontroversi Amerika, Hans Niemann, turut melangkah ke separuh akhir selepas menewaskan GM Uzbekistan, Javokhir Sindarov, menerusi perlawanan blitz playoff, susulan dua perlawanan klasik yang berakhir dengan keputusan seri.
Wakil India, Arjun Erigaisi, pula menjadi satu-satunya pemain yang mara ke separuh akhir tanpa perlu bermain tiebreak apabila menundukkan seorang lagi pemain Uzbekistan, Nodirbek Abdusattorov, dengan keputusan 1.5-0.5 dalam permainan regulasi.
Kemenangan tersebut menyaksikan empat pemain terbaik kini bersedia untuk perebutan tempat ke perlawanan akhir dalam kejohanan berprestij catur gaya bebas itu. -REUTERS