KUALA LUMPUR, 18 Julai – Juara Malaysia Festival of Speed (MFOS) 2025 yang akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dari 15 hingga 17 Ogos ini berpeluang untuk mewakili negara ke Kejohanan Sukan Permotoran Asia Pasifik (APMC) yang dijadual berlangsung di Sri Lanka pada September depan.
Presiden Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM), Tan Sri Mokhzani Mahathir berkata peluang tersebut kini sedang dipertimbangkan sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh pembangunan sukan permotoran tanah air, terutamanya di peringkat akar umbi.
“Kita hendak lihat lebih ramai pelumba menyertai pelbagai disiplin perlumbaan dengan persaingan dalam setiap kategori itu meningkat. Itu yang paling penting kepada saya,” katanya dalam sidang media di ibu negara, hari ini.
Menurut beliau, MFOS 2025 akan mempertandingkan pelbagai disiplin perlumbaan termasuk Karting, Sprint, Karting Slalom, Rali, Auto-Gymkhana, serta e-sukan, bagi memberi peluang lebih luas kepada bakat-bakat tempatan.
“Kita mahu membangunkan kumpulan bakat di Malaysia agar mampu bersaing dengan pelumba-pelumba antarabangsa di mana sahaja,” tegasnya.
Dalam masa sama, Mokhzani menegaskan komitmen MAM untuk terus memperkukuh ekosistem sukan permotoran negara menerusi pelan pembangunan jangka panjang, termasuk usaha menjadikan MFOS sebagai acara tahunan bertaraf serantau.